Rindunya nak menconteng-conteng di sini...tapi apakan daya banyak sangat ujian dan dugaan yang saya hadapi sehingga menjadikan saya malas mahu berbuat apa-apa walaupun banyak yang saya nak kongsikan.
Sudah sebulan 2015 kita lewati dan meninggalkan tahun 2014 yang penuh dengan suka dan duka. 2014 saya ibaratkan sebagai tahun yang sangat kelam dalam kehidupan saya. Satu persatu ujian, dugaan dan kekecewaan menimpa saya. Saya mengharapkan awan mendung yang menyelubungi saya sepanjang tahun 2014 segera berlalu dan membawa sinar yang lebih terang di tahun 2015 walaupun permulaan 2015 saya bukan satu permulaan yang baik.
Tahun 2014 banyak peristiwa yang tak akan saya lupakan. Saya kehilangan bapa mertua, pakcik, sepupu dan juga insan-insan yang saya kenali. Al-Fatihah buat mereka yang telah kembali ke Rahmatullah. Semoga roh mereka di cucri rahmat olehNya. Begitu juga dengan musibah kehilangan MH370, penembakan MH17 dan banjir besar yang melanda negara.
Dalam banyak perkara yang menegecewakan, keputusan UPSR anak saya adalah yang paling mengecewakan.. Bila saya terlalu meletakkan harapan yang tinggi dan harapan itu gagal di capai maka kecewanya saya hanya Allah yang tahu. Sehingga hari ini jujurnya saya masih tak percaya dengan keputusan Adilah. Susah saya nak terima tetapi itulah hakikatnya. Perlahan-perlahan saya belajar untuk redha dan menerima apa yang anak saya dapat.
Tahun 2014 juga dengan nekadnya saya telah meletakkan notis berhenti kerja. Bukan satu keputusan yang mudah tetapi saya perlu berani mengambil risiko demi untuk mengubah penghidupan saya. Sudah sebulan saya menjadi suri rumah tangga sejak notis saya berakhir 31hb Desember yang lalu. Sehingga kini saya masih menanti tawaran kerja yang betul-betul saya mahukan dan saya tak tahu bila dia akan datang. Apa yang mampu saya buat terus mencari dan menunggu.
Ikut perancangannya Februari saya dah patut mula kerja, tetapi sehingga kini masih belum ada tawaran kerja yang saya terima. Komitmen saya banyak sangat. Rumah..kereta..insuran..personal loan semua saya kena bayar. Ya Allah aku hanya mampu berdoa dan bersabar mengharapkan pertolongan Mu Ya Allah.
Selain itu, keluarga saya turut di uji dengan karenah adik-adik saya sehingga emak pernah sampai pengsan akibat tertekan dengan perangai anak-anaknya. Lepas sorang..sorang memberi masalah pada mak abah. Bilalah waktunya adik-adik saya akan sedar dari menyusahkan emak abah saya lagi. Dalam pada macam-macam masalah yang timbul, kami telah menerima ahli keluarga baru. Syukur semuanya berjalan lancar. Nanti kalau rajin saya tulis cerita tentang majlis perkahwinan adik saya
Saya juga telah kehilangan 'barang' yang saya sayangi yang mempunyai nilai sentimentalnya. Menangis air mata darah sekalipun, kalau dah bukan rezeki saya dia tetap akan hilang walaupun saya menjaganya dengan sehabis baik. Sehingga kini saya masih terkenang-kenangkannya tetapi saya akur tak ada yang kekal di dunia ini. Saya percaya ada hikmahnya.
Banyak lagi yang pahit kalau nak di ceritakan sampai satu tahap saya dah malas nak fikirkan apa yang jadi dan rasa nak meyerah jer sambil tunggu dan lihat. Kekadang hati rasa nak menyalahkan takdir atas apa yang menimpa tetapi akal cepat-cepat mintak hati istighfar. Mujur masih tersisa iman yang setia memujuk semoga terus sabar dan redha. Allah tak bagi ujian ini kalau saya tak mampu nak hadap ujian ini dan sesungguhnya Dia yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk hambanya.
Saya sangat-sangat yakin dengan janji Allah bahawa selepas setiap kesusahan pasti ada kesenangan. Ini berdasarkan firman Allah SWT;
“Kerana sesungguhnya sesudah kesusahan itu ada kemudahan, Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.”(Surah al-Insyirah: 5-6)