Assalamualaikum
|
Memori di FB |
7 December 2017 genaplah setahun doktor diagnos saya menghidap rheumatoid arthritis (RA). Sebelum ini apa menatang arthritis tu pun saya tak tahu dan tak pernah nak ambik tahu kekdahnya. Daripada apa yang doktor bagitahu saya dan dari pembacaan saya RA ni penyakit autoimmune dimana sel pertahanan badan akan menyerang sendi pada badan sendiri atau bahasa mudahnya keradangan sendi. RA ni bukan sekadar sendi sahaja tapi boleh juga menjejaskan organ lain seperti mata, hati dan sistem saraf.
Sehingga kini apa yang mencetuskan permulaan RA masih belum di ketahui. Cuma doktor bagitahu faktor genetik, asap rokok dan makanan dalam tin cam sardin tu antara faktor yang boleh mengaktifkan sistem imun sesetengah orang. Sesetengah orang tu salah sorangnya adalah S.A.Y.A.
Nak citer camner mulanya sakit saya ni di kenalpasti. Mula tu dalam sebulan ke dua bulan sebelum tu jari-jari saya semua kaku/ stiff dan sakit terutamanya pada waktu pagi. Bukan jer jari, pergelangan tangan, kaki, lutut, leher senang citer semua bahagian anggota yang macam dalam gambar di bawah tu semua rasa sakit. Tambah-tambah lagi dengan batuk yang agak teruk. Bila gerak sakitnya Tuhan jer yang tahu.
|
Sumber dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang |
Waktu pagi adalah waktu yang sangat kritikal. Bayangkan buka baju, pakai baju pun kena minta tolong suami dan anak. Kadang-kadang suami mandikan juga sebab nak pegang gayung air, nak bukak paip air nak picit ubat gigi pun tak boleh. Bila kesakitan datang menyerang dan tak mampu nak tahan kesakitan tu mula lah saya rasa sedih, rasa diri tak berguna, rasa nak salahkan takdir dan macam-macam lagi rasalah.
Saya pernah juga berjumpa ustaz untuk dapatkan penawar. Untuk berubat dengan ustaz ni, dia minta saya sediakan beberapa barang antara 7 botol air dari 7 masjid yang guna kolah, daun sireh, limau purut, limau nipis dan lain-lain. Namun belum sempat saya sediakan semua barang yang di minta, keadaan saya makin teruk. Kaki tangan semua membengkak, keras dan sakit. Sukarnya nak bergerak, Tidur pun tak lena. Bila saya ke klinik doktor klinik beri saya surat rujukan dan arahkan supaya saya segera ke hospital. Dia suspek buah pinggang saya bermasalah.
|
Bengkak, panas dan keras |
Adoiii..lagi rasa nak menjerit, meraung. Dalam kepala tu dah macam-macam terfikir, itu ini. Saya pun ke Darul Ehsan Medical Centre (DEMC) Shah Alam. Keputusan ujian darah menunjukkan semuanya negatif. Buah pinggang, hati jantung dan organ-organ yang lain semuanya baik. Apa yang menyebabkan kaki dan tangan saya membengkak jadi tanda tanya doktor. Jadi untuk ujian yang lebih lanjut saya terpaksa di tahan di wad.
|
montok kan jemari saya😆 |
Saya di masukkan ke ward di bawah pengawasan doktor Rashidi. Setelah di lakukan ujian darah dan fizikal doktor sahkan saya menghidap rheumatoid arthiristis (RA). Sewaktu di wad doktor Rashidi juga arahkan untuk saya lakukan CT scan pada paru-paru saya, dan hasilnya doktor dapati bahagian belakang paru-paru saya terjejas sedikit akibat serangan RA ni. Bermulalah hidup saya sebagai pesakit RA. Setiap hari kena makan ubat ikut waktu yang di tetapkan. setiap bulan kena buat ujian darah dan jumpa doktor.
Dr Rashidi@ DEMC sangat informatif dan sporting
Dr Rashidi bukanlah pakar rheumatology dan DEMC tak ada klinik rheumatology. Jadi Dr Rashidi cadangkan saya teruskan rawatan dengan Dr Heselynn Hussein di SJMC. Tiga bulan dengan Dr Heselynn saya minta Dr referkan saya ke pakar rheumatology di hospital kerajaan kerana keadaan kewangan yang tak berapa mengizinkan. Bayangkan ada satu ubat tu nama dia Arava 20mg, satu botol tu jer harganya dalam rm500. Belum campur lagi ubat yang lain dan juga consultan fee Dr. Sekali appointment terbanglah rm700-800 jugak.
Dr Haselynn Hussein @ SJMC sangat lemah lembut dan understanding
Seterusnya saya teruskan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang. Walaupun terpaksa menunggu lama setiap kali hendak berjumpa Dr atau mengambil darah, tetapi bila kenangkan rawatan dan ubat-ubat yang percuma tu saya redha jerlah. Satu disadvantage hospital kerajaan ni setiap kali datang Dr yang akan merawat kita bertukar-tukar tak seperti di swasta.
Seakrang ni 6 jenis ubat saya kena ambil setiap hari tetapi yang satu tu bila betul-betul sakit jer baru saya makan. Alhamdulillah ubat-ubat yang saya ambil ni bertindak balas dengan baik terhadap penyakit saya walaupun pada peringkat awal pengambilan ubat-ubat ni saya berasa pening dan mual-mual dan muntah seperti orang mengandung. Sekarang ni kalau di ukur dengan skala 1 hingga 10 tahap kesakitan tu, saya boleh katakan pada tahap 3. Harap-harap tahap ESR saya juga akan semakin menurun ke tahap lebih kurang 25.
|
gula-gula saya |
|
Ujian darah masa ni ESR saya menunjukkan penurunan dari sebelumnya 84 |
Masa awal-awal saya kena sakit ni, berbulan-bulan juga saya tak boleh sembahyang berdiri. Usahkan nak sembahyang nak ambil wuduk pun seksa kan main. Kalau keluar ke mana-mana mintak suami cari parking yang paling dekat dengan pintu masuk sebab tak mahu berjalan banyak. Bila pergi hospital tengok pesakit RA yang lain dengan keadaan fizikal yang jauh lebih teruk daripada saya, saya rasa bersyukur sangat. Kalau kita rasa nasib kita malang sebenarnya ramai lagi yang lebih malang lebih sakit daripada kita. Apa sahaja yang menimpa kita pasti ada hikmah di sebaliknya.
Sekejap jer setahun dah berlalu. Cepatnya masa berjalan. Saya harap untuk tahun-tahun yang mendatang saya akan di kurniakan kesihatan yang lebih baik. Bila kita sakit kita akan tahu betapa nikmatnya sebuah kesihatan itu. Buat yang sedang sakit saya doakan semoga cepat sembuh dan bersabarlah dengan ujian kesakitan itu kerana itu tanda Allah sayangkan hambaNya. Sesungguhnya sakit itu penghapus dosa-dosa kecil.
آمِيْن يَا رَبَّ العَالَمِيْنَ